Welcome

Assalamualaikum..
May Allah always blessed you..

Wednesday, January 12, 2011

::.Curang.::

Terkadang orang yang dicurangi merasa sangat tertipu dan mulai merasakan seolah-olah ditikam duri sembilu. Bagi orang yang mencurangi pula, terkadang pada mata kasar kita melihat seolah-olah tiada apa yang mereka rasakan tapi hakikatnya mereka juga dibelenggu dengan perasaan serba salah.
Curang ini berlaku kerana sikap manusia itu sendiri yang tidak pernah merasa cukup dengan apa yang mereka miliki. Oleh itu, manusia ini akan sentiasa mencari sesuatu yang lebih baik dari apa yang mereka miliki hari ini. Perkataan 'puas' tidak ada dalam diri mereka. Mereka ini juga tidak mensyukuri apa yang ada di depan mata mereka.


Curang bagi golongan muda yang baru mulai berjinak dengan cinta monyet sering berlaku. Pemikiran yang tidak matang mendorong golongn ini membuat keputusan yang akan merugikan diri sendiri. Golongan muda ini mudah tertarik dengan sesuatu yang nampak elok di mata mereka. Bagi yang lelaki, mereka akan tertarik dengan wanita-wanita yang mempunyai rupa paras yang cantik di sekeliling mereka. Bagi perempuan pula, mereka mudah tertarik pada lelaki yang seolah-olah mengambil berat mengenai mereka dan perempuan ini juga tidak kurang dalam memilih lelaki yang mempunyai paras rupa. Golongan ini hanya melihat apa yang ada di sekeliling mereka dan mereka tidak berfikiran panjang. Apabilah mereka ini keluar dari satu persekitaran ke persekitaran yang baru, mereka akan menemui berbagai-bagai orang dengan bermacam-macam ragam dan semestinya mereka akan menemui sesuatu yang lebih baik. Di sini, mulalah hati yang sudah dimiliki tadi menjadi tidak menentu dan mula berpaling.


Perkara ini dapat dielakkan sekiranya kita benar-benar mengikut panduan cara hidup Islam. Semua di antara kita telah dikurniakan jodoh yang terbaik buat diri masing-masing. Jodoh itu pasti akan datang, cuma masanya saja yang tidak kita ketahui . Tiada istilah 'Couple' dalam Islam. Jadi mengapa tidak kita memilih untuk berkawan dahulu dengan semua orang dan jika insan yang kita benar-benar suka itu jodoh kita maka kita akan memilikinya dan kita juga tidak akan rugi apa pun, tetapi jika dia bukan jodoh kita maka kita masih dapat mengekalkan hubungan itu sebagai seorang sahabat. Banyak panduan dalam cara hidup Islam yang dapat menyelamatkan kita daripada terjadinya perkara-perkara seperti 'curang' ini. Apa yang harus kita lakukan hanyalah mengikut panduan dan gaya hidup yang telah digariskan dalam agama Islam. Kita selalu terdengar atau terbaca perkataan 'Islam is The Way of Life'. Apakah maksud di sebalik perkataan itu? Bukankah Allah telah memberi kita jalan yang lurus, tapi mengapa kita yang memilih jalan yang berliku dan curam? 


Kuatkanlah iman di dada, tabahkanlah hati.... Mungkin kita sebagai manusia sering melakukan kesalahan dan kesilapan yang kita sedar mahupun tidak dan dari kesilapan itu kita mulai sedar dan belajar sesuatu. Jika kita ingin berjaya, maka pilihlah kebahagiaan dunia dan akhirat. Janganlah kita memilih kebahagiaan hanya di dunia semata-mata kerana kehidupan di dunia ini hanyalah sementara. Pilihan terletak di tangan kita sendiri, kitalah yang menentukan jalan yang hendak kita lalui dalam hidup ini.


Semoga Allah sentiasa memberi kita pertunjuk dan memberkati apa yang kita lakukan. Allah sentiasa dekat dengan kita, jadi janganlah kita lupa akan kehadiran-Nya. Dia Maha Melihat dan Maha Mengetahui segala yang tersembunyi. Elakkan segala yang buruk dan usahalah mendapatkan yang terbaik agar mendapat keredhaan Allah. Insyallah kita tidak akan terluka mahupun kecewa jika kita bertawakal kepada Allah dalam segala hal. 'curang' juga tidak akan wujud dalam hidup kita jika kita ikhlas dengan jodoh yang Allah berikan, Insyallah..


by:: Merpati Putih



No comments:

Post a Comment